Bismillahirrahmanirrahim...
Ingin ku lakarkan sebuah coretan kisah yang menyayat hati saat aku bermusafir ke sebuah tempat percutian di bahagian Semenanjung Utara. Begitu indah perancangan Allah Swt, semasa aku menunggu keluargaku sampai ke destinasi yang dijanjikan, aku berkenalan dengan seorang kakak. Hampir berjam- lamanya kami bersembang walaupun pada mulanya, aku juga sedikit terkejut dengan keterbukaan kakak itu menceritakan hal peribadinya tapi aku cuba melihat pada sisi yang lain, pasti Allah ingin sampaikan sesuatu padaku. Maka, tujuan aku menulis kali ini sekadar perkongsian ceritera kehidupan seorang isteri yang pada aku ia boleh dijadikan panduan dan pengajaran untuk wanita-wanita dalam memilih pasangan hidup khususnya. Lebih mudah kiranya aku menamakan kakak ini sebagai Kak Solehah.
Perbualan kami mulanya berkisar tentang tempat-tempat menarik di sekitar kawasan itu akhirnya meluncur jauh hingga masuk ke kehidupan Kak Solehah. Kak Solehah merupakan seorang pekerja di bawah sebuah ejen pelancongan, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki yang baru berusia kira-kira 5 tahun yang sentiasa bersama ibunya hatta saat ibunya bekerja. Suami kak Solehah juga bekerja di tempat yang sama. Apabila Kak Solehah memberitahuku yang dia mempunyai anak seramai 10 orang dan mempunyai beberapa orang cucu, aku agak terperanjat kerana menurut pemerhatianku dari luaran kak Solehah tidaklah seperti orang yang sudah mempunyai cucu. Melihat ekspresi wajahku yang hairan itu maka disinilah bermulanya kak solehah menceritakan hal sebenarnya.
K.Solehah :
Sebenarnya yang lain tu semuanya anak tiri akak, yang sorang ni jelah anak akak..suami akak dah berkahwin beberapa kali sebelum berkahwin dengan akak.
Aku:
Ha???..oh..
K.Solehah :
Tapi semua anak-anak dia tu akak yang pelihara sampai besar, sampai kawin lagi..bukannya akak nak mengungkit dik tapi kadang-kadang akak rasa Allah itu tidak adil!
Aku:
Kenapa kak? ( aku cuba untuk mendengar penjelasan kak solehah)
K. Solehah:
Adik tahu tak, akak ni macam hamba bagi suami akak. Akak selalu kena pukul, kena pijak dan macam-macam lagi dik. Akak langsung tidak boleh hubungi sesiapa walaupun keluarga akak sendiri. Ni akak kerja gaji akak suami akak akan ambik. Suami akak ‘layan’ perempuan lain dan tunjuk video dia dengan perempuan itu pada akak.Orang kata bila kita minta doa pada Allah pasti Allah kabulkan, tapi akak hari-hari brdoa tapi penderitaaan akak tidak pernah berakhir sampai sekarang. ( Saat ini aku melihat air mata akak bergenang)
Aku:
Astagfirullahazim, kenapa akak tak tuntut fasakh?
K.Solehah:
Macamna akak nak tuntut dik..Akak pernah cuba lapor polis di kawasan akak ni tapi apa yang dorang buat?? Dorang hubungi suami akak dan bagitau apa yang akak lapor, lepas tu habis akak di kerjakan. Suami akak selalu ugut akak yang dia akan saman akak sebab dia ada lawyer. Akak pernah cuba untuk larikan diri dulu kembali ke tempat keluarga akak, tapi dia datang merayu.Akhirnya akak terima dia balik, akak ingat dia dah berubah tapi semakin teruk akak dikerjakannya.( Sambil menunjukkan luka-luka ditangannya)
Aku:
(Aku hanya mampu beristighfar mendengar cerita akak) kenapa akak terima dia balik setelah akak tahu dia macamna??
K. Solehah:
Akak terima dia atas dasar anak akak sorang ini dik, kalau bukan sebab dia akak takkan terima dia ( Sambil mendukung anaknya yang sedang tidur)
Aku:
Kak maaf kalau boleh saya tahu macamna akak boleh kenal dengan suami akak ye??
K. Solehah:
Akak kenal suami akak melalui telefon, masa tu akak masih belasan tahun,tersalah nombor telefon pastu kami berkenalan suami akak masa tu di utara akak di selatan dan dia minta akak datang ke tempat dia. Akak pun tak tahulah dik kenapa akak buat macamtu pastu kami lari ke Thailand dan kahwin di sana. Itulah salah satu sebab akak susah nak tuntut fasakh sebab kalau kita nikah di Thailand kita takde surat nikah. Beginilah siksanya setiap hari akak dik, akak sudah tidak melihat jalan penyelesaian. Apa yang akak tahu inilah penderitaan yang harus akak tempuhi, sampai-sampai akak pernah terfikir untuk bunuh diri!
Aku:
(Aku terkedu dan buntu, apa yang aku boleh bantu ?) akak, sakit dan beratnya yang saya rasa dari cerita akak pasti akak lebih sakit merasanya tapi saya nak bagitau akak mungkin akak derita di dunia tapi akak jangan memilih penderitaan di akhirat juga dengan keputusan utk membunuh diri kak. Akak tahu kan Doa orang yang dianiaya pasti ALLAH swt makbulkan..akak jangan pernah berhenti berdoa ya kak, saya juga pasti doakan akak. Akak ada ALLAH, ALLAH pasti tolong akak.
K.Solehah:
Betul tu dik..bila akak fikir2 balik membunuh diri itu dosa besar dan akak fikir biarlah akak sengsara di dunia tapi bahagia di akhirat. Doakan akak ye dik( sambil tersenyum dengan linangan airmata)
Aku:
Semoga Allah kuatkan hati akak, saya akan doakan akak insyaALLAH.
Perbualan kami terhenti bila melihat suami kak Solehah berjalan menuju kami. Banyak lagi yang sebenarnya kak Solehah ceritakan pada saya tapi setakat ini yang mampu saya kongsikan. Terlalu banyak pengajaran yang kita boleh dapat dari kisah ini. Pesanan Kak Solehah, bila kita nak memilih pasangan hidup berhati-hatilah jangan hanya bergantung pada cinta. Cinta itu tidak menjanjikan kebahagiaan rumah tanggamu kelak kerana kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi. Kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janjiNya pasti. Justeru itu lihatlah agama yang ada pada calon suami kita itu kerana seorang suami mempunyai tanggungjawa yang besar dalam keluarga.
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.” [al-Tahrim 66:06]
Islam memberi hak kepada wanita untuk memilih calon isterinya sendiri.Rasulullah saw bersabda maksudnya : "Mintalah pendapat kaum wanita dalam masalah mereka sendiri, janda menentukan dirinya sendiri, sedangkan diamnya gadis menandakan persetujuannya" (HR Tabrani)
Di zaman Rasulullah saw, untuk mengetahui keadaan calon suami, orang tua atau wali akan bergaul langsung untuk mengenali lelaki tersebut. Umpamanya Rasulullah saw tidak memilih Ali untuk puterinya Fatimah, kecuali baginda mengetahui akhlak dan agamanya. Bukankah Islam begitu fleksibel buat umatnya denganmemberi peluang untuk kita memilih dan melalui jalan yang terbaik dalam segala hal, jadi mengapa harus kita memilih jalan yang memberi kesengsaraan kelak?
p/s: Saya mengharap sesiapa pun yang membaca artikel ini agar mendoakan kakak ini diberikan kekuatan dan semoga penderitaan yang ditanggung akan berakhir dengan kemanisan iman. Sekiranya sesiapa yang sudi untuk berkongsi solusi untuk masalah ini boleh hubungi saya di FB http://www.facebook.com/elya.khadijah terima kasih
Wallaualam.